GOPENG – Gazebo Abang Nash (GAN) secara rasminya telah membuka cawangan yang ke-5 setelah cawangan GAN Kampung Seri Rahmat, Botani, Tasek Cermin, Seri Iskandar dan terkini RTC Gopeng.
Terletak di RTC Gopeng serta bersebelahan Rehat dan Rawat (RNR) RTC Gopeng pastinya menyajikan panorama kehijauan serta menjanjikan makanan dan minuman yang terbaik untuk setiap pelanggan yang hadir.
Majlis pembukaan telah dirasmikan pemilik GAN, Nasharudin Kanesh Abdullah bertempat di Pusat Transformasi Luar Bandar @ Rural Transformation Center (RTC) Gopeng pada petang Khamis.
Turut hadir perasmian tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Wong Chai Yi, Yang Dipertua Majlis Batu Gajah, Muhamad Razif Ramli serta anak-anak yatim Darul Hikmah.
Nasharudin berkata, selepas 14 tahun beroperasi ini adalah cawangan ke-5 pada tahun ini dan setiap cawangan memiliki keistimewaannya tersendiri dari segi menu dan juga konsep kedai.
”Cawangan di RTC Gopeng adalah gabungan kesemua cawangan terdahulu dari segi menu yang ditawarkan, namun buat pertama kalinya GAN akan memperkenalkan menu berlauk untuk juadah tengahari hanya disini sahaja.
“Bakal beroperasi pada hari Sabtu ini, 27 September 2025 bermula jam 8.00 pagi sehingga 6.00 petang selama sebulan dan kemudiannya waktu operasi akan dilanjutkan sehingga pukul 12.00 malam,” ujar beliau kepada Perak Kini.
Beliau turut menambah, sempena pembukaan ini setiap pelanggan dengan sebarang nilai pembelian akan mendapat baucar percuma minuman ‘White Coffee’ yang menjadi minuman ‘signature’ setiap cawangan kafe GAN.




