BEHRANG – Seramai 500 pelajar menerima sumbangan kelengkapan sekolah sempena Program Sentuhan Kasih Madani Jom Ke Sekolah 2025 yang diadakan di Politeknik Sultan Azlan Shah pada pagi Jumaat.
Sumbangan disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan.
Menurut Dr Zulkifli, program terbabit merupakan inisiatif kerajaan madani bagi meringankan tanggungan ibu bapa terutamanya golongan B40 dalam membuat persiapan kembali ke sekolah.
Katanya, bantuan kepada murid sekolah rendah dan menengah itu melibatkan kelengkapan persekolahan bernilai RM175 seorang.
“Bantuan ini merupakan inisiatif Kerajaan Madani bagi meringankan tanggungan ibu bapa terutamanya golongan B40 dalam membuat persiapan kembali ke sekolah untuk anak-anak pada tahun ini.
“Insentif ini diharap dapat memberi manfaat kepada mereka untuk membeli kelengkapan sekolah seperti baju, kasut, dan beg sekolah mengikut kesesuaian masing-masing,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Sentuhan Kasih Madani, Jom Ke Sekolah 2025 di Dewan Muallim Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) dekat Behrang.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin; Orang Besar Jajahan (OBJ) Mualim, Datuk Ir Dr Safri Kamal Ahmad dan Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Perak, Ramdani Abd Karim.
Ujar Dr Zulkifli, Program Sentuhan Kasih Madani Jom Ke Sekolah 2025 juga menjadi bantuan tambahan kepada rakyat selain Bantuan Awal Persekolahan, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Katanya, penyampaian bantuan persekolahan tersebut sekurang-kurangnya dapat membantu meningkatkan motivasi murid-murid yang tidak berkemampuan untuk menjalani sesi persekolahan baru sama seperti mereka yang lain.
“Selepas Temerloh, Kuala Pilah, Batang Kali, dan Behrang, program ini akan diteruskan ke Port Dickson pula dengan sasaran semua penyerahan selesai sebelum sesi persekolahan 2025 bermula tidak berapa lama lagi,” katanya.
“Inilah semangat #MadaniMembantu yang cakna dan prihatin dengan keperluan masyarakat terbanyak,” katanya
Program Program Sentuhan Kasih Madani Jom Ke Sekolah 2025 adalah anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan ABIM Perak dengan kerjasama dan tajaan dari Yayasan Taqwa-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).





