PELANCARAN BAS.MY IPOH TINGKATKAN PENGANGKUTAN AWAM DI PERAK

IPOH – Perkhidmatan bas henti-henti di negeri Perak menerima nafas baharu dengan pelancaran rasmi Bas.My Ipoh hari ini.

Inisiatif di bawah Program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST) itu melibatkan peruntukan sebanyak RM13.17 juta setahun.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di Dewan Bandaran Ipoh.

Turut hadir ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Jelas Anthony, perkhidmatan Bas.My di Ipoh yang kini mempunyai 51 bas baharu merupakan sebahagian daripada program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST).

Program itu katanya yang bermula pada tahun 2016, telah dilanjutkan sehingga 2029 dengan pelbagai penambahbaikan, termasuk perubahan jenis bas, penambahan laluan, sistem pembayaran terbuka, kad konsesi, dan pas bulanan.

“Kerajaan telah memperuntukkan RM13.17 juta setiap tahun untuk perkhidmatan Bas.My di Ipoh.

“Perkhidmatan bas ini telah diperbaharui dengan penjenamaan baharu serta penggunaan seratus peratus bas baharu,” katanya

Anthony berkata, selain Ipoh perkhidmatan Bas.My itu turut diperluaskan kawasan liputan ke Kuala Kangsar dan Kampar.

“Taraf perkhidmatan telah dipertingkatkan dengan penambahan laluan ke Kuala Kangsar dan Kampar.

“Saya harap laluan baharu ini akan memberi lebih kemudahan kepada penduduk yang berulang-alik ke Ipoh,” katanya.

Pada majlis tersebut Anthony turut mengumumkan pengenalan Kad 30 Hari Bas.My, pas perjalanan tanpa had bernilai RM50 sebulan eksklusif untuk warganegara Malaysia.

Selain itu beliau turut mengumumkan mengenai kad konsesi Bas.My yang menawarkan tambang percuma kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas, orang kurang upaya (OKU), pelajar sekolah, dan kini diperluaskan kepada golongan mahasiswa.

“Inisiatif ini akan dapat meringankan beban kos sara hidup rakyat melalui perkhidmatan bas yang efisien dan berpatutan.

“Namun untuk warga asing mereka tak layak untuk mendapatkan kad tanpa had RM50 itu, yang kerajaan subsidi itu ialah hanya untuk warganegara Malaysia. Kalau warga asing mereka kena bayar tiket seperti biasa, mengikut kadar tambang, jarak dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti Bas.My di Ipoh pada Isnin

Bas Bas.My kini menampilkan reka bentuk baharu berwarna merah jambu yang ceria, menggantikan armada myBAS sebelum ini yang berwarna biru.

Bas-bas Bas.My ,ditempatkan di Terminal Bas Meru Raya, Jelapang, dan akan memulakan operasi dari Stesen Bas Medan Kidd.

Perkhidmatan terbabit meliputi laluan utama yang menghubungkan Medan Kidd ke Bercham, Tanjung Rambutan, Chemor, Pasir Puteh, Pengkalan Sentosa, Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Taman Botani, Batu Gajah, Seri Iskandar, Kuala Kangsar, dan Kampar.

Mynn Hamid

Related posts

Next Post