IPOH – Suasana tegang pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Hulu Kinta pada 13 April lalu bertukar panas apabila timbul dakwaan mengejutkan bahawa seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah mengacukan pistol ke arah ahli parti sendiri!
ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad kini berada dalam radar siasatan polis selepas tular video berdurasi 1 minit 5 saat yang memaparkan seorang individu mendakwa beliau menunjukkan senjata api ketika proses rayuan undi sedang berlangsung.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin ketika ditemui mengesahkan bahawa senjata milik wakil rakyat berkenaan telah dirampas dan disimpan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, sementara permohonan pembatalan permit senjata telah dihantar ke Bukit Aman sejak 18 April lalu.
“Tindakan ini adalah selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) apabila individu pemegang permit senjata terlibat dalam siasatan kes jenayah,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Ujian Kemahiran Menembak Antara Agensi di Lapang Sasar Kontinjen Perak hari ini.
Menurut beliau, Muhamad Arafat sendiri telah menyerahkan senjatanya kepada pihak berkuasa sehari selepas permohonan pembatalan dibuat.
Setakat ini, seramai 13 individu telah dipanggil memberi keterangan termasuk ADUN terbabit dan pengadu yang mendakwa menjadi mangsa ugutan bersenjata.
Insiden yang berlaku semasa kempen pemilihan dalaman PKR itu telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada akar umbi parti dan masyarakat setempat, yang kini menanti apakah tindakan lanjut bakal diambil terhadap wakil rakyat berkenaan.
Apakah insiden ini bakal mengubah landskap politik Hulu Kinta? Sama-sama kita nantikan perkembangan seterusnya.
