SUNGAI SIPUT – Bertindak diatas maklumat dan risikan selama sebulan, pasukan Unit Risik Batalion 1 PGA berjaya menumpaskan kegiatan memproses sisa elektrik dan elektronik (e-waste) secara haram melibatkan rampasan RM1.3 bilion termasuk pelbagai jentera dan peralatan.
Serbuan telah dilakukan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak di sebuah kilang Jalan Sungai Siput-Kuala Kangsar, pada Ahad.
Komander Briged Utara, SAC Shahrum Hashim berkata ini adalah rampasan terbesar bersama JAS melibatkan kawasan seluas 4.8 hektar menerusi Op Hazard.
“Rampasan melibatkan lebih 1,000 beg jumbo seberat 1 tan metrik setiap satu dan keseluruhan dianggarkan bernilai RM1.6 juta dan setiap beg ini mengandungi pelbagai barangan e-waste termasuk tembaga, timah dan aluminium,” katanya ketika ditemui pada sidang media di kilang tersebut.
Shahrum berkata selain rampasan, seramai 27 orang telah ditahan terdiri daripada dua warga tempatan, 14 warga China dan 10 warga Myanmar serta seorang kanak-kanak berusia dua tahun dipercayai anak kepada seorang pekerja warga Myanmar.
“Mereka yang ditahan lingkungan usia dua hingga 60 tahun manakala dua warga tempatan tersebut dipercayai pemilik dan penyelia kilang.
“Kesemua warga asing tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah JAS Perak, Muhamad Rizal Ramli berkata kesalahan yang dilakukan oleh premis tersebut adalah tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Kilang berkenaan didapati mempunyai dua kesalahan iaitu tidak mempunyai lesen untuk beroperasi mengikut Seksyen 18(1) serta kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) di bawah Seksyen 34 A(6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.
Beliau berkata sampel rasmi kesemua e-waste itu akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis bagi mendapatkan komposisi buangan sebelum tindakan pendakwaan dibuat.







