BERUAS – Buat julung kalinya dalam sejarah Parlimen Beruas, sebanyak 27 kampung berganding bahu menyambut Hari Raya Aidilfitri secara bersama dalam satu majlis penuh meriah dan bersejarah.
Program Riang Raya Parlimen Beruas 2025 yang berlangsung di Dewan SMK Raja Shariman berjaya menarik kehadiran lebih 3,500 pengunjung.
Program anjuran Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham dengan kerjasama erat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) ini menyemarakkan semangat perpaduan dan keharmonian komuniti setempat.
Setiap kampung membawa juadah istimewa hasil air tangan komuniti masing-masing. Antara menu yang mencuri tumpuan ialah kambing bakar, air tebu segar serta pelbagai sajian tradisi kampung yang menggunakan produk komuniti Sejati Madani.
Khemah, hadiah cabutan bertuah dan hamper juga turut disumbangkan menerusi kerjasama platform Sejati Madani.
Majlis turut dimeriahkan dengan Pertandingan Gemerlap Aidilfitri Parlimen Beruas 2025 yang menyaksikan sebanyak 24 kampung mengambil bahagian dalam menghias kawasan mereka dengan tema warna-warni dan kreatif bermula sejak 24 Mac lalu.
Semua penyertaan menerima sagu hati sebanyak RM1,000.
Senarai pemenang utama pertandingan ialah:
- Johan: Kg. Bakar Bata (RM3,000)
- Naib Johan: Kg. Tualang / Buruk Bakul (RM2,000)
- Tempat Ketiga: Kg. Tebuk Yan (RM1,000)
Anugerah Khas turut diberikan kepada:
- Kg. Matang Kerian – Warisan Tradisional.
- Kg. Sg. Batu – Unik & Beridentiti.
- Kg. 40 Rantai – Komuniti Sepakat.
- Kg. Tanjung Ara – Cahaya Harapan.
- Kg. Banjar – Ceria Cahaya.
Majlis diserikan dengan pelbagai persembahan menarik termasuk persembahan 24 Festival Drum bertemakan Raya oleh SJK(C) Pei Ching, nyanyian lagu Cindai oleh adik Kaveiyah yang menerima tepukan gemuruh, serta persembahan istimewa dari PDK Nur Hidayah.
Dalam ucapan perasmian, Datuk Ngeh Koo Ham menyerubmasyarakat agar terus memelihara keamanan dan keharmonian.
“Tiada siapa menang dalam pertelingkahan. Kita mahukan keadaan semua menang, bukan siapa kalah. Sambutan ini tanda kesyukuran atas keamanan Malaysia yang kita kecapi bersama,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Khas kepada Datuk Ngeh merangkap Pengerusi Program Riang Raya, Siti Sofiah Rahman Oh, turut mengumumkan perancangan penubuhan One Stop Centre Sejati Madani, sebuah hab sehenti untuk memasarkan produk-produk kampung ke pasaran yang lebih luas, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi tempatan.








