SERI ISKANDAR – Pusat Kecemerlangan Pengajian Islam Darussyafie berkolaborasi bersama Pertubuhan Kebajikan Assolahiyyah Malaysia (PKAM) menganjurkan Majlis Mawlid Seri Iskandar 1447 Hijriah dengan kehadiran lebih 650 pengunjung.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Ikhtiar Parit, Dato’ Mohammad Nizar Zakaria bertempat di Dewan Serbaguna Seri Iskandar pada pagi Ahad.
Turut mengiringi Penasihat PKAM merangkap Pegawai Perubatan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Ustaz Dr Abdullah Azzam Abdul Rashid, Pensyarah Kanan Fakulti Al-Quran dan Sunnah Universiti Sains Malaysia, Ustaz Dr Mohammad Sobri Ellias serta Mudir Pusat Pengajian Islam Darussyafie, Ustaz Ahmad Audie Afham.
Menurut Abdullah Azam berkata, Seri Iskandar telah dipilih menjadi tuan rumah untuk sambutan Maulidur Rasul 1447H pada tahun ini kerana ianya berdekatan dengan universiti tempatan disini.
“Sambutan Maulidur Rasul bukan hanya khusus disambut pada hari tertentu sahaja sebaliknya ianya boleh diraikan sebagai cintanya umat Islam kepada Rasullah SAW.
“Pada program kali ini, ianya turut diisi dengan pelbagai persembahan seperti qasidah, tausiyyah dan juga kisah mawlid.
“Yang lebih istimewa adalah persembahan nasyid melibatkan pelajar dari negara lain seperti China, Afrika, Australia, Filipina dan juga Indonesia,” ujar beliau kepada Perak Kini.
Pelbagai gerai jualan dan pemeriksaan mata secara percuma turut disediadakan untuk tetamu yang hadir.





