TRONG – Kemeriahan sempena sambutan Hari Malaysia disemarakkan lagi dengan kehadiran 135 bot nelayan pelbagai saiz yang hadir menceriakan perairan Sungai Kerang menerusi Perararakan dan Pertandingan Bot Berhias Parlimen Bukit Gantang 2025 .
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bertempat di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Sungai Kerang pada pagi Ahad.
Sebelum itu, beliau turut serta di acara pelepasan bot nelayan bagi penganjuran edisi kali ke-4 yang telah berlangsung di perairan Sungai Kerang, Kelubong dan Bagan Panchor dengan setiap bot dihias indah menggunakan Jalur Gemilang serta bendera Perak, sejauh kira-kira 10 kilometer.
Syed Abu Hussin Hafiz berkata, penganjuran program yang kini dijadikan acara tahunan dalam kalendar pelancongan daerah memperlihatkan komitmen komuniti nelayan terhadap semangat patriotisme serta perpaduan.
“Acara ini bukan sekadar perarakan, tetapi juga satu wadah untuk memperkukuh hubungan antara komuniti nelayan dan masyarakat setempat serta ianya mampu menjadi tarikan pelancong, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk di sekitar kawasan perairan ini.
“Setiap peserta diberikan RM300 untuk menghiaskan bot masing-masing dan hadiah lumayan iaitu juara pertandingan bakal membawa pulang wang tunai RM10,000,” ujar beliau kepada Perak Kini.
Beliau turut menambah, sambutan Hari Malaysia yang diraikan secara inklusif bersama masyarakat nelayan menunjukkan simbolik semangat kebersamaan yang wajar terus dipupuk, sejajar dengan gagasan Malaysia MADANI.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk persatuan nelayan tempatan, agensi kerajaan serta komuniti setempat yang menjayakan program itu, sambil menyatakan keyakinan ia mampu dikembangkan sebagai acara pelancongan bertaraf negeri pada masa hadapan.
Juara pertandingan bot berhias, Farhan Mat Shahid, 42, berkata, ” Saya tidak menyangka telah dipilih sebagai johan pada kali ini kerana ramai juga nelayan menghias dengan cantik setiap bot mereka.
” Hampir RM3000 di gunakan untuk membeli segala keperluan bagi pertandingan kali ini dan saya bersyukur kepada Tuhan dengan rezeki yang diberikan ,” ujar beliau ketika ditemuramah.
Kemeriahan majlis diteruskan lagi dengan acara cabutan bertuah serta kenduri rakyat.





