MANONG – Sebanyak 13 kumpulan marhaban mempamerkan kehebatan kumpulan masing-masing bagi merangkul gelaran johan pertandingan Marhaban Peringkat Bahagian Kuala Kangsar 2025 sempena Sambutan Maulidur Rasul 1447H.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pegawai Khas Menteri Besar , Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan, Datuk Maslin Sham Razman bertempat di Perkarangan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) pada pagi Sabtu.
Turut mengiringi Pegawai Khas Menteri Besar, Dewan Undangan Negeri (DUN) Manong , Azizul Rahim Abdul Rahman serta tetamu jemputan.
Menurut Maslin berkata, objektif pertandingan adalah untuk mengekalkan tradisi marhaban di samping memperkenalkan seni budaya berunsur Islamik yang merupakan salah satu medium dakwah yang kian dilupakan dan tidak lagi diminati oleh generasi masa kini.
“Kerjasama erat diantara DUN Bukit Chandan dan DUN Manong membuktikan bahawa kami bergerak dengan nada seiring sebagai wakil kerajaan dalam menjayakan agenda Perak Sejahtera 2030,” ujarnya.
Azizul menambah, perancangan menyambut Maulidur Rasul telah lama dirancang dan ini adalah masa yang sesuai.
” Sambutan pertandingan amat luar biasa daripada 20 kumpulan, kita hanya menerima 13 kumpulan sahaja disebabkan kekangan waktu pertandingan.
” Setiap kumpulan marhaban akan mendapat peruntukan sebanyak RM1000 manakala johan akan membawa wang tunai RM800, naib johan RM700, tempat ke-3 RM600 dan saguhati sebanyak RM200,” ujar beliau kepada Perak Kini.
Pada majlis tersebut turut diadakan pemeriksaan kesihatan secara percuma serta gerai jualan produk tempatan.






