IPOH – Persatuan India Muslim Perak (PRIM) meneruskan bantuan sumbangan kepada golongan asnaf untuk kali ke-3 pada bulan Ramadan yang mulia ini yang disasarkan kepada ibu tunggal, orang kurang upaya serta mualaf.
Perasmian Program Bantuan Hari Raya PRIM 2025 telah disempurnakan oleh Pengerusi Biro Ekonomi Dewan Perniagaan Melayu Perak, Dato’ Azizul Kama Abdul Aziz bertempat di Dewan Utama Masjid Cina Muhammadiah, Tasek pada Ahad.
Turut mengiringi beliau Pengerusi Masjid Cina Muhammadiah, Dato’ Dr Fazli Cheah, Pengerusi Persatuan India Muslim Perak (PRIM), Dr Mohamed Arib Aliah, Ahli Jawatankuasa PRIM serta para penerima sumbangan.
Mohamed Arib berkata, sebanyak 50 keluarga asnaf diraikan sempena program Bantuan Hari Raya PRIM 2025 untuk kali yang ke-3.
“Pada minggu lepas sebanyak 100 bantuan sumbangan telah disampaikan pada Sabtu dan 100 bantuan sumbangan pada Ahad kepada keluarga asnaf bertempat di Masjid India Muslim, Ipoh.
“Program pada hari ini adalah sumbangan sepenuhnya dari Ahli Jawatankuasa PRIM untuk menyampaikan infaq agar dapat berkongsi rezeki bersama-sama dibulan Ramadan ini.
“Setiap penerima bakul makanan akan mendapat barangan dapur seperti beras 10 kilogram, susu, gula, tepung dan pelbagai barangan lain sebanyak 32 jenis barangan yang melibatkan dana sebanyak RM180 bagi setiap satu bakul makanan”, ujar beliau kepada Perak Kini.




