IPOH – Mengiktiraf peranan penting masyarakat belia, Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memperkenankan 81 orang pemimpin belia di negeri Perak berperanan sebagai khatib jemputan.
Sebanyak 81 buah masjid di negeri Perak telah dikemukakan permohonan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri untuk membolehkan mereka menyampaikan khutbah Jumaat yang telah disenaraikan sempena Hari Belia Negara.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, masjid tidak mempunyai kuasa menghalang individu yang telah diperkenan baginda dan jika terdapat bantahan tindakan itu dianggap sebagai ingkar kepada titah sultan dan boleh dikenakan tindakan.
“Tujuannya adalah untuk membuka peluang kepada lebih ramai menyampaikan khutbah termasuk guru, askar, polis, doktor dan sebagainya mengikut kepakaran masing-masing serta sebagai pengiktirafan kepada golongan muda termasuk golongan huffaz dan graduan dari universiti Islam.
“Jika ada pengerusi masjid yang tidak benarkan, itu merupakan satu tindakan ingkar dan mereka perlu menghormati perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan,” katanya pada sidang media di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini pada Khamis.
Mohd Annuar menambah, langkah itu merupakan sebahagaian usaha untuk mendemokrasikan masjid agar tidak hanya bergantung kepada imam tetap semata-mata.
Beliau turut menegaskan, mana-mana pengerusi masjid yang bertindak menyekat khatib diperkenan Sultan Nazrin boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Kalau ada pula pengerusi masjid yang nak jadi ‘Little Napoleon’ nak tunjuk kuasa dia, pada saya sudah ingkar kepada perintah sultan dan kita akan ambil tindakan keatasnya.
“Kalau saya ada kuasa-kuasa yang diperuntukkan dalam enakmen, jawatan dia boleh digantung, saya akan gantung untuk buat siasatan,” ujarnya.
Khutbah Jumaat esok bertajuk ‘Belia Berkeyakinan Memenuhi Cabaran Dunia dan Akhirat’,turut disediakan bagi menyokong usaha memperkasa peranan anak muda dalam masyarakat dan agama.


